Wednesday, September 21, 2011

ADAB BERGURAU DALAM ISLAM

Agama Islam menggalakkan umatnya mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia agar kehidupan ini penuh dengan kasih sayang dan harmoni. Kita juga digalakkan untuk menyenangkan hati sesama saudara kita. Salah satunya dengan bergurau senda.

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !”
Riwayat Abu Daud

Huraian: >>
i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.
ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda. 
iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a.w. 
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya. 
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati. 
iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya. 

Rasulullah SAW juga berjenaka dengan ahli keluarga dan sahabat baginda. Berikut merupakan untaian kisah gurauan Rasulullah SAWsupaya menjadi teladan bersama dalam kehidupan seharian..

Kisah pertama : Anas bin Malik r.a. mengkhabarkan, “Sesungguhnya ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah S.A.W. agar ia dibawa naik kenderaan. Rasulullah S.A.W. bersabda: “Baik, aku akan membawamu di atas anak unta betina”. Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah, apa yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina itu?” Rasulullah S.A.W. bersabda: “Bukankah yang melahirkan unta itu unta betina?”


Kisah kedua : Suatu ketika Rasulullah S.A.W. didatangi oleh seorang nenek tua yang bertanya, “Apakah kelak saya boleh masuk syurga?” Nabi pun menjawab, “Tidak akan ada orang tua di dalam syurga.”
Mendengar jawapan itu, spontan nenek tersebut menangis. Lalu Rasulullah berkata kepadanya : “Bahawa kelak tidak ada orang tua di dalam syurga kerana semua ahli syurga akan kembali muda“.


Kisah ketiga : Telah datang seorang wanita, dia memberitahu Rasulullah S.A.W.: “Ya Rasulullah, suamiku jatuh sakit. Dia memanggilmu”. “Semoga suamimu yang dalam matanya putih”, kata Rasulullah S.A.W. Perempuan itu kembali ke rumahnya. Dan dia pun membuka mata suaminya. Suaminya bertanya dengan kehairanan, “Kenapa kamu ini?”. “Rasulullah S.A.W. memberitahu bahawa dalam matamu putih”, kata isterinya menerangkan. “Bukankah semua mata ada warna putih?” kata suaminya.



No comments: